Friday, October 9, 2009

sakit

Bismillahirrahmanirrahim


Sakit itu kifarah dosa buat hambanya.

Ada mesej yang ingin disampaikan melalui sakit itu.

Sakit itu akan mengajar erti kesihatan.

Sakit akan menyebabkan kita menghargai nikmat kesihatan.

Sakit mengajar kita supaya bersifat qanaah.

Sakit menginsafkan kita sebagai seorang hamba Allah.

Moga terus tabah menghadapinya....


Alhamdulillah, Allah masih lagi kurniakan nikmat kesihatan itu kepada saya hari ini walau masih lagi dibelenggu rasa sakit semalam..Sakit yang Allah SWT kurniakan ini mengingatkan saya akan diri saya yang semakin lalai dan lupakanNya. Betapa Allah merindukan rintihan saya yang mungkin sudah tidak selunak suatu ketika dulu dan Allah uji diri yang daif ini dengan kesakitan sehingga saya hanya mampu menyebut "Allah!!". Tidak tertahan rasanya..Bagaimanalah rasa sakit menghadapi sakaratul maut..ALlahuakbar! DariNya sakit itu datang dan padaNya jugalah kuasa penyembuh..

Apabila sakit, secara tiba-tiba saya mengenang kembali segala dosa-dosa yang dilakukan. Pintu taubat masih terbuka luas.Syukur ya Allah atas peringatanMu ini. Sakit adalah denda ke atas kita kepada dosa-dosa lalu yang lakukan secara sengaja atau tidak.Apabila kita sakit,usahlah mengeluh atas kesakitan yang dihadapi. Perbanyakkanlah zikir kepada Allah. InsyaAllah rasa sakit akan berkurangan.

Ketika sakit, sahabat-sahabat bertanya itu dan ini sehingga saya tidak bisa menjawab. Sahabat-sahabat saya selalu berkata, "degil betul la budak ni!!","jangan la degil". Ungkapan itu membuat saya sedikit tersenyum walaupun kerisauan di hati mereka memang saya fahami dan rasai dengan hati kecil saya. tapi seringkali saya menafikan hakikat kedegilan saya yang jarang serik dengan sakit yang belum sembuh sepenuhnya. Namun, jauh di dalam hati ini, saya cukup mengerti akan maknanya Allah menimpakan segala kesakitan dan ujian untuk saya. Adakah itu tandanya Dia membenci? Sekali kali tidak. Firman Allah, "Tidak ada manusia yang tahu rahsia-rahsia di sebalik pelbagai kecelakaan atau kemalangan yang telah ditetapkan Allah. Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia adalah baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu walhal ia jahat bagi kamu" (al-Baqarah: 216).

Kecederaan dan kemalangan yang pernah menimpa dahulu menyebabkan saya sentiasa ingat tentang kesakitan, nikmat sihat dan lebih berhati-hati dalam perkara yang dilakukan. Mudah-mudahanan saya tidak termasuk dalam golongan orang yang hanya mengingati Allah ketika susah sahaja sedang dalam kesenangan terus lalai dan melupakanNya.Ya Allah, betapa besarnya kasih sayang Mu kepada hamba.Dalam kelalaian diingatkan supaya kembali kepadaNya.Nikmat Allah yang mana boleh manusia dustakan??

Terdapat byk hadith yg menerangkan bhw kesakitan (ujian) dpt memadamkan kejahatan dan menghapuskan dosa. Abu al-Laithi menyatakan yang ia telah melawat Rasulullah S.A.W.. ketika baginda sakit kuat. Ia telah menyentuh tubuh baginda dan berkata yang bermaksud: Panas badan tuan amat kuat. Baginda menjawab: Benar. Panas bagaikan panas dua orang daripada kamu. Lalu dijawab oleh Ab al-Laithi: Ini kerana tuan mendapat pahala dua kali ganda. Mendengarkan kata-kata itu baginda bersabda yang bermaksud: Benar. Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya, tidak ada seorang Islam di muka bumi ini ditimpa sakit atau lain-lain bala melainkan dihapuskan dosa-dosanya seumpama pohon yang digugurkan daunnya.


Sebuah lagi hadis berkait dengan kesakitan berbunyi, Sayidatina Aishah berkata bahawa baginda rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin suatu kecelakaan, biarpun satu duri atau yang lebih teruk daripada itu, melainkan Allah menggugurkan dengan kecelakaan itu satu dosa.

Rasulullah juga ada bersabda yang bermaksud: Rintihan orang yang sakit adalah merupakan tasbih, jeritannya sebagai tahlil dan kegelisahannya daripada satu bahagian itu ke bahagian lain adalah jihad di jalan Allah dan akan dicatatkan baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan ketika sihat dahulu. Hadis ini menjelaskan bahawa penderitaan sakit yang dialami oleh seseorang itu diberi ganjaran oleh Allah selain menebus dosa yang dilakukan sebelum itu. Terlalu besar ganjaran Allah kepada orang yang menderita kesakitan berdasarkan keterangan hadis tadi.

Bagi seorang hamba, sakit merupakan rahmat dan bukannya seksa. Sakit telah mengajar saya sabar dan bersyukur. Ya Allah, ajarkan kami kesabaran, jauhkan kami dari kealpaaan dengan segala nikmat yang sementara. Ya Allah Tuhan yang Maha Pengasih, berilah kesejahteraan dan ampunkan dosa-dosa kami, keluarga kami, saudara-saudara kami, orang kecintaan dan punyai hak ke atas kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami, orang yang berpesan doa kepada kami, orang yang berbuat baik kepada kami, orang yang pernah kami aniayai dan seluruh muslimin dan muslimah. Semoga saya dan kalian termasuk dalam golongan orang yang sabar dan bersyukur…amin

Wallahu'alam

Pesanan Buat Lelaki..Juga Untuk Wanita

Bismillahirrahmanirrahim

saya postkan koleksi artikel simpanan saya untuk bacaan khas buat kaum muslimin dan juga kaum muslimah.semoga kita sama-sama dapat menghayatinya secara betul.

Wanita : akalnya senipis rambut
Jangankan lelaki biasa,
Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita,

tanpa mereka,fikiran dan perasan lelaki
akan resah,
Masih mencari
Walau ada segalanya,

Apa yang tiada dalam syurga?
Namun Adam
tetap rindukan Hawa..

Dijadikan wanita
dari tulang rusuk
yang bengkok itu,
untuk diluruskan
oleh lelaki,

Tetapi seandainya
Lelaki itu sendiri
tidak lurus...
mana mungkin
kayu akan bengkok
menghasilkan bayang yang lurus,

Luruskan wanita
dengan jalan ditunjukkan
oleh Allah SWT,
kerana mereka diciptakan
sebegitu rupa oleh Allah,

Didiklah mereka
dengan panduan nya,
Janganlah cuba menjinakkan
dengan harta,
Kerana nantinya
mereka akan liat,

Janganlah hiburkan mereka
dengan kecantikkan,
Kerana nantinya
mereka derita,>>Kenalkanlah mereka
kepada Allah,
Zat yang kekal,
Disitulah punca
kekuatan dunia!!!

Akalnya
senipis rambutnya,
Tebalkan ia dengan ilmu,
Hatinya
separuh kaca,
Kuatkanlah ia
dengan iman,
Perasaannya
selembut sutera,
Hiasilah ia dengan akhlak,

Suburkanlah ia
kerana daripada situlah nantinya,
mereka akan lihat
nilaian dan keadilan,

Tuhan,
Bisikkanlah
ke telinga mereka
bahawa kelembutan
bukan satu kelemahan,
Ia bukan satu diskriminasi Tuhan,
sebaliknya disitulah
kasih dan sayang Tuhan,

Jinakkanlah diri
kepada Allah,
Nescaya akan jinaklah
segala-galanya
dibawah pimpinanmu lelaki,

Jangan mengharapkan
isterimu semulia
Fatimah Az Zahra,
Andai dirimu
tidak sehebat
Saidina Ali Karamallahuwajhah

Terimalah wanita
dengan seadanya
kerana setiap ciptaan Allah
tidak ada yang sia-sia
semuanya penuh makna..........

Wednesday, September 9, 2009

Tsaqafah dan Keperibadian Nuqaba'

Bismillahirrahmanirrahim

Tarbiyah merupakan satu perkara yang amat penting dan menjadi landasan utama kepercayaan anggota usrah terhadap naqib mereka. Tajuk ini merupakan salah satu daripada beberapa tajuk yang amat penting apabila kita membicarakan perihal penguasaan para naqib terhadap ilmu pengetahuan.


PENDAHULUAN

Penguasaan nuqaba' terhadap cabang ilmu yang menjadi latar belakang dakwah dan ini amat berkaitan dengan beberapa topik yang lain seperti penguasaan watak dan keterampilan, penguasaan sahsiah dan penguasaan kepimpinan.

Para nuqaba mesti mengetahui dan meyakini bahawa apabila saf pimpinan memberikan tanggungjawab kepada mereka untuk mengetuai usrah, hal itu merupakan satu kepercayaan yang besar. Oleh itu mereka hendaklah memiliki keyakinan diri dan tidak teragak-agak untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Mereka mesti mempunyai kekuatan, bahawa dalam apa jua perbincangan. Selaku naqib mereka memiliki kata pemutus.

Mereka mesti tidak boleh dikalahkan oleh tekanan keilmuan yang cetek, lantaran mereka sebenarnya telah memiliki ilmu. Oleh itu, kita selaku para naqib mestilah mempunyai teknik mencatat maklumat yang baik. Setiap ceramah yang kita dengar, kias ibarat yang kita terima, hendaklah disimpan di dalam fail maklumat yang baik dan tersusun..

Mereka mesti menyedari bahawa bidang pengajian dan takhassus mereka sebenarnya boleh diolah untuk manfaat usrah dan dakwah. Oleh itu, mereka hendaklah mempelajari kemahiran dan teknik memanfaatkan kepakaran dalam bidang pengajian untuk kepentingan dakwah mereka.


THAQAFAH NUQABA' YANG PALING MINIMUM

Berikut disenaraikan beberapa rujukan bagi membantu mengatasi masalah ketidakyakinan kepada diri sendiri untuk mengendalikan usrah.

Al-Qur'an ... Naqib hendaklah tahu bacaan al-Qur'an yang betul. Mereka hendaklah mengetahui hukum tajwid yang minimum. Mereka sendiri hendaklah khatam al-Qur'an sekurang-kurangnya dua kali setahun

Tafsir al-Qur'an ... Naqib hendaklah mengetahui asas penghantar kepada al-Qur'an. Mereka bolehlah merujuk kepada buku Kunci Mengenal al-Qur'an tulisan Zulkifli Hj.Yusoff.

Mereka juga perlu merujuk buku-buku tafsir yang lengkap huraiannya terhadap isi al- Qur'an. Buku yang dicadangkan ialah Tafsir Al-Azhar oleh Allahyarham Hamka atau buku Abr Al-Athir karangan Ustaz Ahmad Sonhadji.

Al-Hadith ... Naqib perlu mengetahui maklumat yang minimum tentang pengantar kepada ilmu al-hadith. Buku yang boleh dirujuk ialah Pengantar Ulum al-Hadith oleh Dr. Subhi Salih. Cuba merujuk setiap hadith kepada setiap kitab muktabar seperti Sunan Sittah. Kebanyakan buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.

Sirah Nabawi ... Naqib dapat merujuk Fiqh As-Sirah oleh Said Ramadhan al-Buti atau Fiqh Harakah oleh Abdul Hadi Awang.

Aqidah ... Elakkan diri daripada membincangkan aspek akidah seperti ilmu kalam dan falsafah secara mendalam. Sebaliknya firqah-firqah atau mazhab dalam Islam hendaklah mereka ketahui.

Mereka boleh membuat rujukan kepada buku Aqidah Islamiyyah oleh Sayyid Sabiq atau buku Muqaddimah Aqidah Mukmin oleh Abdul Hadi Awang.

Fiqh ... Mengetahui asas tarikh perkembangan hukum dalam Islam dan juga pengantar kepada ilmu fiqh. Sayugia para naqib mestilah belajar dan khatam satu kitab kecil tentang fiqh ibadah berdasarkan mazhab yang menjadi amalannya. Sebagai contoh Kitab Matan Al Ghayah wa At Taqrib.

Tazkirah ... Boleh rujuk kepada siri buku karangan Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti Tazkiyyah Jiwa dan Nafsu, Air Mata di Mahsyar dan Mati: Satu Peringatan. Juga kitab-kitab tasauf yang asas seperti Bidayah Al Hidayah ( Al Ghazali ).


CIRI-CIRI NUQABA’ YANG BERKUALITI

1. Mempunyai tsaqafah nuqaba dan sentiasa mempertingkatkannya .

2. Memiliki keperibadian( syakhsiyyah) nuqaba' dan boleh menjadi qudwah yang baik.

3. Ada kemahiran tarbawiyah dan da'wiyyah:
- usul dan tarkiz tarbawiyyah
- usul da'wah
- isti'ab dakwah
- pengendalian usrah berkesan

4. Ada kemahiran qiyadiyyah.
- sifat-sifat pemimpin
- kualiti dan kemahiran memimpin

5. Ada kemahiran jama'iyyah.
- memahami amal jama'iy dari segi konsep dan perlaksanaan.

6. Ada kemahiran tanzimiyyah.
- kemahiran berorganisasi


KESIMPULAN

Apa-apa yang dinyatakan di atas merupakan sumber minimum yang seharusnya dikuasai oleh para nuqaba' bagi melancarkan perjalanan usrah mereka. Pada masa yang sama, mereka hendaklah memiliki penguasaan dalam bidang ilmu dan alat yang lain seperti kenderaan dan komputer dan lain-lain..

Wallahualam...

Rahsia Budu Terbongkar

Budu merupakan makanan traditional Kelantan dan Terengganu yang diperbuat daripada ikan bilis atau udang bari yang dijeruk sehingga hancur.
Budu atau sos bilis yang berasal dari negeri sebelah pantai timur Malaysia
ini mendapat perhatian dan menjadi kajian para ahli pemakanan berkhasiat
Jepun, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Jerman. Penemuan
baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki gluthaione sebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser. Kenyataan ini bagaikan satu kejutan bagi golongan yang selama ini memperlekehkan kewujudan budu yang dianggap makan "kuno".

Budu didapati berpotensi untuk melawan radikal bebas dan dipercayai mampu menghalang proses penuaan dan mencegah terjadinya penyakit degeneratif seperti aterosklerosis, koroner jantung, penyakit kencing manis, kanser danselainnya pada peringkat lebih awal. Kajian mendalam juga mendapati budu turut mengandungi zat antibakteria penyebab [[diarrhoea| cirit (diarrhoea)] , penurunan kolestrol darah, pencegah penyakit jantung dan hipertensi.

Budu memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna, diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain. Khasiat budu yang diproses dari ikan bilis yang diperam terbukti mampu mengatasi masalah kanak-kanak yang menderita penyakit diarrhoea kronik akibat kurang zat pada tubuh. Dengan pengambilan budu sebagai makanan sampingan, ia mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit diarrhoea kronik ini serta menyembuhkannya dalam waktu singkat.

Ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya. kerana ia merangsangkan sel-sel otak dan akan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron-neuron yang lemah.. Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi dan masalah kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa. 2 kelompok vitamin yang terdapat pada budu iaitu, vitamin larut air (vitamin B kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K).

Budu merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain sep erti vitamin B1 (thiamin), vitamin B2 (riboflavin) , asidpantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 (sianokobalamin) . Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneumoniae dan Citrobacter frundiin - yang mana vitamin B12 ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain. vitamin B12 ini perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitaman ini mengakibatkan
terjadinya penyakit anemia perisiosa (pucat), sakit perut dan berat badan menurun.

Kadar vitamin B12 dalam budu adalah di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar. Jumlah ini jauh lebih cukup untuk keperluan badan manusia dalam sehari. Dengan adanya vitamin B12 para pengamal diet (jaga badan) tidak perlu lagi merasa khuatir akan kekurangan vitamin B12 di dalam badan.

Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral makro dan mikro dalam jumlah yang cukup. Jumlah mineral zat besi, kalsium dan magnesium adalah sebanyak 9, 39, 2, 87 dan 8.05 mg bagi setiap 100 gram budu. Budu juga mengandungi zat antioksidan dalam bentuk isoflavon. Seperti halnya vitamin C, vitamin E dan karotenoid, isoflavon juga merupakan antioksidan yang sangat diperlukan oleh tubuh untuk menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas. Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan,
sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Radikal bebas didapati berpunca dari makan seharian yang dimakan dan juga dari reaksi yang terjadi di dalam tubuh. Adanya antioksidan di dalam budu akan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.

Kebiasaannya di dalam apa jua jenis ikan terdapat 3 jenis isoflavon unsur antioksidan iaitu daidzein, glisitein dan genistien. Pada budu, di samping 2 jenis unsur ini, terdapat juga antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi isoflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat dibandingkan isoflavon dalam ikan-ikan lain.
Penelitian yang dilakukan di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat menemukan bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan barah payudara.

Penyakit jantung koroner (PJK) merupakan salah satu bentuk kelainan pembuluh darah koroner akibat penumpuan lemak di dalam dinding pembuluh darah iaitu satu keadaan yang disebut aterosklerosis. Ini mungkin disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, jantina dan keturunan. Manakala faktor dimodifikasi adalah peningkatan kadar lipida darah (hiperkolestrolemia ), hipertensi, obesiti, stress dan kurang aktiviti
lasak. Pemakanan budu yang mempunyai sifat hipokolesterolemik (menurunkan lemak darah) sep erti kandungan protein, serta makanan, niasin, vitamin E, karotenoid dan kalsium. Satu ujikaji rambang yang dijalankan, mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan.

Selain dari sumber protein yang berkualiti tinggi, budu turut dikenali sebagai sumber serat (dietary fiber) yang baik. Kandungan serat di dalam budu mampu mencapai di antara 8 hingga 10% bagi setiap 100 gm. Ia menyumbangkan kepada 30% dari umlah serat yang dianjurkan oleh National Cancer Research..

Berbanding serat di dalam ikan-ikan atau sumber protein lain, serat pada budu lebih mudah untuk dicernakan. Dari apa yang dinyatakan ini jelas sekali bahawa khasiat serta kebaikan sep iring budu yang dimakan bersama hidangan nasi pagi, tengahari dan malam melampau jangkauan yang anda fikirkan. Budu seumpama cecair pelbagai vitamin yang memenuhi segala keperluan untuk tubuh badan.

Sunday, September 6, 2009

Lobak Merah, Telur dan Kopi

Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan menanyakan mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Ia tidak tahu bagaimana menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehdupan. Ia sudah letih untuk berjuang. Sepertinya setiap kali satu masalah selesai, timbul masalah baru.

Ayahnya, seorang tukang masak, membawanya ke dapur. Ia mengisi tiga periuk dengan air dan menaruhnya di atas api. Setelah air di ketiga-tiga periuk2 tersebut mendidih. Ia menaruh lobak merah di dalam periuk pertama, telur di periuk kedua dan ia menaruh serbuk kopi di periuk terakhir. Ia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar, memikirkan apa yang sedang dikerjakan oleh ayahnya.

Setelah duapuluh minit, si ayah mematikan api. Ia menyisihkan lobak dan menaruhnya dimangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya di mangkuk yang lain, dan menuangkan kopi di mangkuk lainnya. Lalu ia bertanya kepada anaknya, "Apa yang kau lihat, nak?" "Lobak, telur, dan kopi" jawab si anak.


Ayahnya mengajaknya mendekati mangkuk dan memintanya merasakan lobak itu. Ia melakukannya dan merasakan bahawa lobak itu terasa enak. Ayahnya lalu memintanya mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang kulitnya, ia mendapati sebuah telur rebus yang mengeras. Terakhir, ayahnya memintanya untuk mencicipi kopi. Ia tersenyum ketika mencicipi kopi dengan aromanya yang khas.

Setelah itu, si anak bertanya, "Apa erti semua ini, Ayah?" Ayahnya menerangkan bahawa ketiganya telah menghadapi kesulitan yang sama, perebusan, tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeda. Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan lunak. Telur sebelumnya mudah pecah. Cangkerang tipisnya melindungi isinya yang berupa cairan. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras. Serbuk kopi mengalami perubahan yang unik. Setelah berada di dalam rebusan air, serbuk kopi merubah air tersebut.

"Kamu termasuk yang mana?," tanya ayahnya. "Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang bakal kamu lalui...Ketika kesukaran dan kesulitan mendatangimu, bagaimana kau menghadapinya? Apakah kamu lobak, telur atau kopi?"

Bagaimana dengan anda?

Apakah anda adalah lobak yang kelihatannya keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kamu menyerah, menjadi lembut dan kehilangan kekuatanmu.

Atau... Apakah kamu adalah telur, yang awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamis? Namun setelah adanya kematian, patah hati, perceraian atau kegagalan menjadi keras dan kaku. Dari luar kelihatan sama, tetapi apakah kamu menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku?

Ataukah kamu adalah serbuk kopi? Serbuk kopi merubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasanya yang maksimal pada suhu 100 darjah Celcius. Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi terasa semakin nikmat. Jika kamu seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk, kamu akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan di sekitarmu juga menjadi semakin baik.

Tuesday, September 1, 2009

Doa Harian Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

1. Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan maha pengampun daripada segala dosa.


2. Ya Allah, dekatkan aku kepada keredaan Mu dan jauhkan aku daripada kemurkaan serta balasan Mu. Berilah aku kemampuan membaca ayat-ayat Mu dengan rahmat Mu, wahai Tuhan Maha Pengasih


3. Ya Allah limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakan bahagian ku daripada kebaikan yang kau turunkan., demi kemurahan Mu, wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan.


4. Ya Allah berilah kekuatan kepada ku untuk
melaksanakan perintah Mu dan berilah aku kemanisan
berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran
dengan kemuliaan Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan
perlindungan Mu, wahai Tuhan Maha Melihat


5. Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba Mu yang saleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya’ (orang yang mendapat keutamaan Mu) yang hampir di sisi Mu dengan kelembutan Mu, wahai Tuhan yang Maha pengasih daripada segala pengasih


6. Ya Allah, janganlah aku dihina kerana perbuatan maksiat ku kepada Mu dan janganlah menyeksa ku dengan balasan Mu. Jauhkan aku daripada sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Mu, dengan anugerah dan bantuan Mu, wahai kemuncak keinginan orang yang berkeinginan


7. Ya Allah bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya. Jauhkanlah aku daripada dosa-dosanya. Dan berilah aku zikir untuk mengingati Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk) Mu wahai pemberi petunjuk kepada orang yang sesat.


8. Ya Allah, berilah aku rezeki berupa kasih sayang kepada anak-anak yatim, pemberi makanan, penyebar salam dan bergaul dengan mulia, dengan kemuliaan Mu tempat berlindung orang yang berharap.


9. Ya Allah, sediakan bagi ku sebahagian daripada keluasan rahmat Mu. Berilah aku petunjuk dengan ajaran-ajaran Mu. Bimbinglah aku menuju keredaan Mu yang penuh dengan kecintaan Mu, wahai harapan orang yang merindu.


10. Ya Allah, jadikan aku di antara orang bertawakal kepada Mu dan jadikan aku di kalangan orang yang menang di sisi Mu. Ya Allah, jadikan aku di kalangan orang yang dekat di sisi Mu. Dengan ihsan Mu wahai tempat tuju orang yang memohon


11. Ya Allah, tanamkan dalam diri ku kecintaan melakukan kebaikan dan kebencian melakukan perbuatan maksiat serta fasik. Ya Allah jauhkan ku daripada kemurkaan Mu dan seksaan api neraka, dengan pertolongan Mu wahai Tuhan yang menolong orang memerlukan pertolongan


12. Ya Allah, hiasilah diri ku dengan penutup dan kesucian. Tutuplah diri ku dengan pakaian kesederhanaan dan kerelaan. Tempatkan aku di jalan keadilan dan keikhlasan. Amankan diri ku daripada setiap perkara yang aku takut, dengan penjagaan Mu, wahai penjaga orang yang takut.


13. Ya Allah, bersihkan diri ku daripada kekotoran dan kehinaan. Berilah kesabaran kepada ku untuk menerima segala ketentuan. Berilah kemampuan kepada ku untuk bertakwa dan bergaul dengan orang baik, dengan bantuan Mu wahai pengharap orang yang miskin


14. Ya Allah, jangan aku dihukum disebabkan kekeliruan yang ku lakukan. Ampunkan aku daripada kesalahan dan kebodohan. Janganlah kau jadikan diri ku sasaran bala dan malapetaka, dengan kemuliaan Mu wahai kemuliaan kaum Muslimin


15. Ya Allah limpahkan rezeki kepada ku berupa ketaatan orang yang khusyuk. Lapangkan dada ku dengan taubat orang yang menyesal, dengan keamanan Mu wahai keamanan orang yang takut.


16. Ya Allah, berilah kemampuan kepada ku untuk menjalani kehidupan seperti mana kehidupan orang baik. Jauhkan bagi ku kehidupan orang yang melakukan kejahatan. Lindungilah aku dengan rahmat Mu hingga ke alam akhirat, demi ketuhanan Mu wahai Tuhan sekalian alam.


17. Ya Allah, tunjukkan bagi ku amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-cita ku, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui segala keperluan tanpa ungkapan permohonan. Wahai yang Maha Mengetahui segala yang ada dalam hati sekalian makhluk. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci.


18. Ya Allah, sedarkan aku untuk mencari keberkatan. Terangkan hati ku secerah cahaya dan bimbinglah aku serta anggota ku untuk mengikuti segala ajaran Mu, dengan cahaya Mu wahai penerang hati orang yang bijak.


19. Ya Allah, penuhkan bahagian ku dengan keberkatan dan mudahkan bagi ku menuju ke arah kebaikan. Jangan kau jauhkan aku daripada ketenteraman kebaikan, wahai pemberi petunjuk kepada kebenaran.


20. “Ya Allah, bukakan bagi ku pintu-pintu syurga dan tutupkan bagiku pintu-pintu neraka. Berilah kemampuan kepada ku untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran, wahai pemberi ketenangan dalam hati orang beriman.


21. Ya Allah, berilah aku petunjuk untuk mendapat keredaan Mu. Janganlah engkau biarkan syaitan menguasai diri ku. Jadikan syurga tempat tinggal dan berehat bagi ku, wahai pelaksana keperluan orang meminta.


22. Ya Allah, bukakan bagi ku pintu kelebihan dan turunkan bagi ku keberkatan mu. Berilah kepada ku untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan keredaan Mu dan tempatkan aku dalam syurga Mu yang luas, wahai penjawab doa orang dalam kesempitan


23. Ya Allah bersihkan aku daripada segala dosa dan jauhkan diri ku daripada keaiban serta tanamkan ketakwaan dalam hati ku, wahai pengampun kesalahan orang yang berdosa.


24. Ya Allah, aku bermohon kepada Mu perkara yang mendatangkan keredaan Mu. Aku berlindung dengan Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan Mu dan aku bermohon kepada Mu kemampuan untuk mentaati Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap Mu, wahai pemberi kepada yang meminta.


25. Ya Allah, jadikan aku orang yang menyintai auliya’ Mu dan memusuhi musuh Mu. Jadikan aku pengikut sunnah nabi Mu, wahai penjaga hati para Nabi.


26. Ya Allah, jadikan usaha ku sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa ku sebagai dosa yang diampuni, kebaikan ku sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban ku sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar.


27. Ya Allah, berilah rezeki berbentuk ganjaran Lailatul Qadar kepada ku, ubahkan perkara sulit menjadi mudah, makbulkan permintaan maaf ku dan hapuskan dosa serta kesalahan ku, wahai Tuhan Maha Penyayang kepada hamba soleh


28. Ya Allah, penuhkan hidup ku dengan amalan sunnah dan muliakan aku dengan diterimanya semua permintaan, wahai Tuhan yang tidak disibukkan oleh permintaan orang meminta


29. Ya Allah, hiasilah aku dengan rahmat Mu dan berikanlah aku petunjuk serta penjagaan Mu. Bersihkan hati ku dengan fitnah, wahai pengasih kepada hamba yang beriman.


30. Ya Allah, jadikan puasa ku disertai dengan rasa syukur dan diterima oleh Mu melalui jalan keredaan Mu serta keredaan rasul Mu, cabangnya yang kukuh dan kekuatan keberkatan, demi kenabian Muhamad saw dan keluarga baginda yang suci dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Tuesday, August 4, 2009

Usrah dan Marhalah

Bismillahirrahmanirrahim

Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa makna keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.

Bila mana kita menyebut ianya sebagai satu proses pembentukan, ia membawa makna penekanan dan perbincangan di dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan terhadap Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) yang akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.

Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan `amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir. Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan diatasi oleh kebatilan yang kemas.

Saya melihat perjalanan proses usrah di kampus saya agak mendatar. Maksud saya ialah proses usrah tidak bergerak seiring dengan marhalah takrif, takwin dan tanfidz. Hal ni boleh menyebabkan berlakunya ketidaksediaan para mad’u dalam proses tamrin di peringkat takwin dan tanfidz kerana proses usrah yang tidak mencapah.

Usrah yang dijalankan melalui peringkat takrif dari awal hingga ke akhir. Maka mad’u tidak terdedah dengan realiti yang terdapat dalam dakwah dan perjuangan. Sebagai contoh, bila mad’u sudah melepasi marhalah takrif, usrah sepatutnya lebih mencapah dengan pelbagai pembaharuan kepada mereka. Mungkin dalam marhalah takrif para naqib dan naqibah membawa pendekatan taaruf, mengcungkil kemahiran mad’u dan sebagainya, tapi dalam marhalah yang seterusnya, mad’u perlu dilatih dengan aktiviti yang lebih mencabar seiring dengan marhalah. Sebagai contoh, para naqib dan naqibah mengadakan usrah dengan kaedah dan tempat yang berbeza. Membawa mad’u mengembara, berikan mereka tugasan dalam bentuk adventure dan sebagainya.

Masalah yang berlaku dalam tamrin seperti mad’u yang tidak bersedia, ukhwah yang tidak mantap dan sebagainya pula perlu diselesaikan dengan rehlah sebelum dan selepas tamrin. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar keberkesanannya akan dapat menguntungkan Islam dan jamaah.

Ini hanyalah sekadar pandangan saya berdasarkan pembacaan dan pemerhatian di samping perbincangan dengan sahabat-sahabat. Wallahualam.